Thursday, 28 November 2013

Masih adakah keBENARan?

Tiada sedikit riak ketakutan malah dihiasi senyuman lebar.Itulah yang dapat kita saksikan daripada wajah-wajah tahanan para nisa' Mesir di wilayah Iskandariah yang dituduh mengikuti gerakan pengganas.Rata-rata usia mereka di dalam lingkungan 20-an.

Isu UMMAH di seluruh dunia adalah isu kita.Meski terpisah dua benua,sabda Rasulullah SAW:

"Barangsiapa yang tidak menghiraukan urusan saudara-saudara seislam,maka dia bukanlah dalam kalangan mereka." (HR Abu Daud)




Firman Allah swt:
“Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu bertemu Dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi Segala kesukaran Dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang sabar.” (al-Anfaal:45-46)
THABAT!! Satu sikap yang terpuji iaitu konsisten dalam menegakkan kebenaran.Mereka tidak memperjuangkan atas dasar semangat meskipun ribuan telah tercatat sebagai syuhada',namun aspek KEFAHAMAN menjadi tuntas dan asas perjuangan.
Ya,itulah yang dapat disaksikan apa yang berlaku di Perlembahan Nil sekarang ini.Rakyatnya berterusan mengadakan muwajahah silmiah (demonstrasi secara aman) untuk menuntut kembali hak mereka yang dirampas.Baik golongan muda,golongan pertengahan mahupun golongan berusia.Wanita turut tidak ketinggalan menjadi sebahagian suara emas rakyat.
Apakah habuan yang mereka dapat?Penjara dan tersiksa..

Kebanyakan mereka merupakan pelajar di Universiti al-Azhar


Senyuman terukir menandakan perjuangan yang teruji adalah benar.


Sayyid Qutb menjelaskan:
Sikap thabat adalah awal perjalanan menuju kemenangan. Sikap thabat yang akan menentukan sang pemenang antara dua kelompok. Orang-orang mukmin barangkali tidak mengetahui bahawa musuh-musuh mereka menderita penderitaan yang lebih besar dan bahawa musuh-musuh Islam turut mengalami rasa sakit yang sama seperti yang dirasai oleh kaum muslimin. Namun perbezaannya bahawa mereka musuh-musuh Islam itu tidak dapat memohon kepada Allah swt. seperti permohonan kaum mukminin. Mereka tidak akan dapat apa-apa bantuan dari Allah swt. yang akan memantapkan langkah dan hati mereka. Sesungguhnya jika kaum mukinin tetap thabat, nescaya musuh-musuh mereka akan segera hancur dn dikalahkan. Siapakah yang dapat menggoyahkan pendirian kaum mukminin sedangkan mereka thiqah (yakin) dengan salah satu dari dua kebaikan, hidup mulia dengan kemenangan atau syahid di jalan Allah swt. sementara musuh mereka tidak mengingini selain dunia dan bagi mereka tidak ada kehidupan lagi setelah mati. (Fi Dzilal al-Quran, Sayyid Qutb)





Andai jeriji besi yang DIA redhai sebagai jualbeli perjuangan mereka,maka bahagiakanlah mereka.

Saban hari di Universiti al-Azhar akan berlaku demonstrasi secara aman para pelajar baik kuliah banin mahupun kuliah banat.Syabab dan fatayat hari ini penentu masa depan negara,mereka adalah pelapis pimpinan akan datang.Kesedaran itu tidak datang melainkan dengan kesucian dan kemurnian hati.

Sama-sama kita doakan agar Mesir akan kembali dinaungi kebenaran dan dikurniakan pemerintah yang beriman kepadaNYA.

Umat Islam seluruh dunia adalah bersaudara.Umpama sebuah jasad,apabila sakit sebahagian anggota,adakah kita mampu tidur dengan lena??Sudah pasti tidak.

Umat Islam umpama bangunan,batu bata saling melengkapkan akan kekukuhannya.Justeru marilah kita berdoa dan membaca Qunut Nazilah usai solat.Semoga kebenaran kembali tertegak dan kebatilan akan lenyap.

-Itqan-
Cairo,Egypt

Friday, 18 October 2013

BERKORBAN, JANGAN SAMPAI TERKORBAN.

Arissa Imany dan El Hannan Rasyiqah . Saling melengkapi. Jika seorang di timur, di timur jugalah yang seorang lagi. Di mana ada Imany, di situlah wujudnya Hannan. Imany, seorang lembut hatinya, meski personalitinya agak kasar (boyish) tapi tetap memilih untuk bertudung labuh,sopan. Hannan, seorang keras kepala namun sangat lemah lembut, sopan dan anggun sekali.
Serasi. Sepadan. Bagai isi dengan kuku. Complement with each other bak DNA yang berpadanan dengan mRNA berdasarkan ilmu Biologi. Ya, persahabatan mereka sangat awesome pada semua pihak. Masakan gadis yang agak boyish boleh bersahabat rapat dengan si manis yang lemah lembut wataknya? Mungkin agak kurang logik, namun itulah realitinya.
Kuasa Allah. DIA lebih mengetahui segala sesuatu kejadian itu. Pasti ada hikmah kenapa dan mengapa mereka ditakdirkan bertemu dan menjalinkan ukhuwah. Menelusuri alam persahabatan, pasti ada pasang surutnya. Pasti ada naik turunnya. Pasti ada pahit manisnya. Itulah kehidupan, pasti ada pro dan kontranya.
“Hannan, jomlah pi masjid. Ada ceramah Ustaz Haslin Bollywood,”pujuk Imany, dengan gaya manja ala2 rock.
“Err.. Hannan nak siapkan assignment Physics ni. Hanguslah aku, esok petang dah kena hantar kat lecturer. Kau tau je lah, Mr Adham tu macam mana sifatnya, semua kena perfect. Semua kena on time. Cukuplah aku kena ‘fire’ last week, malu kot. Jatuh imej aku waktu kuliah. Sorry ye cutie pie..”tunduk Hannan, langsung tidak memandang ke arah Imany.
“Oklah, even Hannan tak nak join ceramah tu, jom kita dating jamaie dengan Ilahi? Sekejap je Hann, lagi 10 minit dah nak masuk Isyak. Lepas Isyak tu, kalau Hann nak balik dulu, it’s okay.Please?” Imany angkat kening roller coaster.
“Emm, Imany pergi dulu la. 5 minit lagi Hann menyusul.”kata Hannan
“Oklah kalau camtu. Imany chaw dulu. Take care dearie! See you there! ”balas Imany, ceria sekali.
10 minit. 30 minit. 60 minit. 2 jam.  Masa terus berlalu. Pantas, tanpa ada rasa ingin menoleh ke belakang.
Langsung tiada kelibat Hannan, hatta bayangnya sekalipun. Ya, sudah acapkali ini yang terjadi. Janji Hannan bak daun yang berguguran , terbang di angin lalu. 
‘Sabarlah duhai Imany. Keep strong. Tarbiyah dalam kehidupan tak akan pernah putus, hatta saat diuji dalam persahabatan sekalipun,”seakan kedengaran bisikan dari jiwa Imany.
“Tok tok tok. Assalamualaikum bidadari cinta yang bijaksana!”

Sunday, 22 July 2012

Mencari Keredhaan Allah




Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan dimana pintu Jannah terbuka lebar untuk hamba-hambaNya yang ikhlas beramal beribadat dan di bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan yakni Malam Lailatul Qadar. Bulan Ramadhan benar-benar memberikan pulangan yang besar dan ibarat pasar untuk dagangan ke akhirat. Ditamsilkan juga seperti tanah yang subur untuk bercucuk tanam menuju ke sana. Perbuatan yang hidup dan cergas di dalam bulan ini dikiaskan seperti hujan April yang turun pada musim bunga. Bulan ini juga merupakan festival yang amat mulia bagi orang-orang yang mengabdikan diri kepada tuhannya.

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abu Hurairah menjelaskan;”Ketika datang bulan Ramadhan, sesunggunya telah datang kepada kamu bulan yang penuh berkat,diwajibkan keatas kamu berpuasa,dalam bulan ini pintu Jannah dibuka,pintu neraka ditutup syaitan-syaitan dibelenggu.Dalam bulan ini ada satu malam yang nilainya sama dengan seribu bulan.Maka diharamkan kebaikan bagi sesiapa yang tidak beramal baik di dalamnya,sesungguhnya tidak mendapat kebaikan dibulan lain seperti di bulan ini.” 

Selain itu bagi mengimarahkan malam-malam dibulan Ramadhan,diperintahkan umat Islam mengerjakan solat Tarawih dan bertadrus Al-Qur’an selepas berpuasa sepanjang hari. 

Sehubungan itu misi mencari keredhaan Allah SWT di bulan penuh keberkatan ini tidak hanya tertumpu kepada solat dan berpuasa malah ianya dihiasi dengan semangat kasih sayang dengan menghulur bantuan kepada sesama ummah yang memerlukan ihsan dan sumbangan berbentuk makanan,pakaian serta dana bagi melestarikan kehidupan dan meringankan sedikit bebanan hidup. 

Golongan fakir miskin,balu-balu,anak-anak yatim dan warga tua yang kurang upaya mendapat perhatian bukan sahaja melalui sumbangan bantuan daripada mana-mana pihak malah ianya mendapat simpati kasih sayang individu muslim yang prihatin dan ingin membelanjakan harta ke jalan Allah.

Sifat kasih sayang,persaudaraan dan prihatin sesama insan amat penting dalam kehidupan umat Islam. Semangat kasih sayang dan prihatin itu yang telah dipupuk dan disemai pada bulan Ramadhan dan Syawal perlu diteruskan pada sepanjang masa agar kesejahteraan rakyat dan perpaduan Islam dapat diperkukuhkan. 

Justeru,puasa Ramadhan boleh membentuk umat Islam menjadi insan yang prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan. 

“ Perasaan kasih sayang antara sesama manusia merupakan fitrah dan realiti yang semestinya diterima oleh setiap insan dimuka bumi Allah ini,Insyaallah…”

>Ramadhan Al-Mubarak<





Masjid & Peranannya
{“Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapa pun bersama-sama Allah”.}
Penciptaan manusia ini ialah supaya manusia mengabdikan diri kepada Allah. Di dalam Islam, masjid merupakan suatu institusi mulia yang digunakan oleh umat Islam untuk beribadah bagi membuktikan ketaatan dan pengabdian yang ikhlas kepada Allah.
            Ibadah di sini bukan beerti solat semata-mata, tetapi mencakupi ruang lingkup ibadah yang lebih luas. Inilah fungsi utama masjid seperti yang dijelaskan di dalam firman Allah yang bermaksud, "Nur hidayah petunjuk Allah bersinar dengan nyata (terutama sekali) di masjid sebagai tempat ibadat yang diperintah oleh Allah supaya dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadah memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadah dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat; mereka takut hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan."
Folded Corner: IBADAH
Solat berjemaah lima kali sehari semalam merupakan tonggak segala aktiviti lain.
Folded Corner: Pusat PentadbiranFolded Corner: Pusat pengajaran dan pembelajaran seperti bertadarus di bulan Ramadhan.
 

Text Box: Maka, pastikan Masjid-masjid ditempat kita berfungsi pada bulan Ramadhan ini dengan baik. Pastikan juga kaki-kaki kita melangkah ke sana untuk mengambil manfaat dari ilmu Allah dibulan Ramadhan yang penuh barokah ini supaya ianya mendatangkan keberkatan, baik di dunia mahupun di akhirat kelak .Insyaallah…
Ramadhan Karim,sirru a’la barokatillah.
WaAllahu a'lam.


Tuesday, 27 March 2012

Jambori Nisa Selayang

Assalmualaikum w.b.t

Apa khabar pembaca semua. Semoga iman kita semuanya sihat pada hari ini ^_^.

Baiklah, Nisa' ingin kongsikan sedikit tentang Jambori Nisa Selayang yang telah diadakan pada Sabtu yang lepas.

Tarikh      : 24 Mac 2012
Tempat    : Taman Rimba Templer, Rawang

Alhamdulillah, julung-julung kali diadakan pada tahun ini. Program in imendapat penyertaan yang amat menggalakkan. Seramai lebih 60 orang telah mendaftar program ini yang bermula seawal jam 8.30 pagi. Majlis ini telah dirasmikan oleh Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat, Dun Taman Templer, En. Mohd Kassim Packiry.


Penceramah jemputan pada kali ini ialah Ust Mohd Fauzan B Madzlan, yang memberikan penerangan tentang program SPIES (Spiritual . Physical . Intellectual . Emotion . Social). Ustaz yang sentiasa bersemangat ini, memang sentiasa berjaya menyentuh hati peserta-peserta. Tahniah dan terima kasih kepada ustaz kerana sudi membuat perkongsian untuk program kami.




Seorang lagi penceramah yang sentiasa bersemangat, yang taujihatnya sentiasa menyentuh hati sesiapa yang mendengarnya. Beliau ialah Ustazah Suraya. Kalam taujihat beliau sangat menyentuh dan menusuk kalbu. Terima kasih juga kepada ustazah, walaupun sibuk dengan urusan lain, tetapi dapat memenuhi jemputan kami. Beliau lah contoh MUSLIMAT POWER!!!. Alhamdulillah...





3 aktiviti telah dijalankan serentak pada sebelah petang, iaitu River Crossing, Flying fox dan juga Paintball. Photographer tak sempat nak kejar semua, minta maaf gambar banyak yang tak ada.






For more pictures, you can ask us ^_^

Sekian, wasalam...

Tuesday, 31 January 2012

BERSABARLAH ATAS SETIAP YANG MENGELUHKAN MU..(^_^)





Saat dilanda ujian dan dugaan, kita bertempik kecewa.
Tika cubaan datang, serasa sesak dada hingga berprasangka buruk kepada Tuhan.
Tatkala dihimpit derita, kita menangis sambil meratapi kesedihan yang melanda.
Bahkan saat itu, kita lupa tentang kalimah ‘sabar’ dan ‘redha’. Kita juga lupa bahawa kita ada Allah Yang Maha Esa. Kita tidak menyakini bahawa dengan kehadiran ujian itu, sebenarnya adalah cubaan yang Allah SWT turunkan buat menguji sejauh mana keimanan hamba-hambaNya.
Bukankah Allah SWT telah mengkhabarkan kepada kita tentang ujian dan cubaan buat orang-orang beriman?
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Al-Baqarah: 214)
Maka setelah diturunkan ujian berganda-ganda bagi menguji keimanan hambaNya, Allah SWT mengingatkan kita tentang kalimah ‘sabar’. Kerana kesabaran adalah senjata bagi menghadapi segala mehnah dan tribulasi.
“Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Az-Zumar: 10)
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan)…” (Ali-Imran: 200)
Allah SWT menjanjikan pertolongan saat menghadapi kesulitan, dengan syarat kita mestilah bersabar menghadapinya. Jangan sesekali kita berpaling dari Allah SWT, atau menjauhkan diri dariNya. Dibimbangi kita akan terjerumus ke lembah kehinaan dengan mengikuti jalan sukar yang dihembuskan Syaitan durjana. Syaitan sama sekali tidak akan senang kepada hamba-hambaNya yang sabar dan senantiasa berpegang teguh kepada tali Allah SWT. Biarkan Syaitan kecewa dengan sikap kita yang keras menentang bisikan-bisikannya. Perbanyakkan doa dan solat agar tali yang mengikat kepada Rabbi bertambah utuh dan kuat.
Tatkala Dihadirkan Ujian
Setiap kesabaran yang terbina, adalah lahir daripada hati dan nurani yang bersih. Hati yang kotor, adalah amat payah untuk menerima sebuah kesabaran dan rasa redha berpanjangan.
Kebeningan hati laksana sebuah istana kukuh, mampu menahan segala serangan musuh. Sekuat mana musuh itu, jika istana yang dibina dibentengi perisai kukuh, penjaga berdisplin dan teratur, serta senjata penangkis yang utuh, pasti musuh tersungkur rebah tanpa sempat menawan istana itu.
Dari Abu Said al-Khudri RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang berusaha untuk sabar, maka Allah SWT akan menjadikannya mampu bersabar. Tidak ada pemberian yang diberikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih luas daripada kesabaran.” (Muttafaq ‘alaih)
Begitu juga hati kita, apabila dibina dengan benteng kesabaran, dikelilingi senjata redha, dan sistem pertahanan berupa doa yang tak putus-putus, nescaya ia sukar untuk diroboh. Saat itu, Allah SWT pasti akan menurunkan pertolonganNya yang berupa kekuatan menyinari dalamannya dan memberikan ganjaran berlipat kali ganda atas kesabaran yang menghiasi diri hambaNya.
Dari Abu Malik al-Asy’ari RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Sabar adalah cahaya…” (HR Muslim)
Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita, bahawa apabila Allah SWT menyayangi suatu kaum, pasti Allah SWT akan menurunkan ujian dan cubaan. Alhasil, Allah SWT akan menilai sejauh mana takat kesabaran yang terbentuk. Kadangkala, ada sesetengah manusia membenci kesusahan, kesakitan, bebanan yang ditimpakan ke atasnya sehingga bertempik benci dan mengeluh panjang kepada Allah SWT. Maka, jika itulah keadaannya, ini bererti manusia itu telah menempah murka Allah SWT. Tatkala itu, Allah SWT akan menimpakan kemurkaanNya dengan nilaian dosa. Dosa akibat lemahnya rasa sabar manusia terhadap ujian yang dihadapi.
Hadis yang telah dikeluarkan oleh Ahmad melalui jalur Mahmud bin Labid menyatakan, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah Azza Wajalla jika menyintai suatu kaum, maka Allah akan memberikan cubaan kepada mereka. Barangsiapa yang sabar, maka dia berhak mendapatkan (pahala) kesabarannya. Dan barangsiapa marah, maka dia pun berhak mendapatkan (dosa) kemarahannya.”
Telah disebut oleh al-Qirafi bahawa adanya ijma’ (kesepakatan) di kalangan ulama’ mujtahid bahawa haram hukumnya kita marah terhadap qadha Allah SWT. Keharaman marah terhadap qadha juga ada disebut dalam sebuah hadis lain berbunyi:
Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya jika Allah akan menyintai suatu kaum, maka Dia akan memberikan ujian kepada mereka. Barangsiapa yang bersabar maka kesabaran itu bermanfaat baginya. Dan barangsiapa marah (tidak sabar) maka kemarahan itu akan kembali kepadanya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam at-Tirmizi. Ibnu Muflih berkata: “Isnad hadis ini baik”)
“Sebab aku tidak ada wang, aku terpaksa mencuri. Mungkin Allah SWT tidak menyayangiku lagi.” Rungut individu yang bersangatan kecewa tanpa dibatasi iman.
“Allah, mengapa Engkau turunkan ujian sebegini, mengapa?!” Bentak individu lain tanda kecewa.
Kes sebegini terlalu banyak berlaku di dalam masyarakat kita. Kita selalu marah-marah pada Pencipta bila letih menerima cubaan, hingga ada yang sanggup mencaci-maki bagai orang gila yang tidak berpedoman. Kita menyalahkan Allah SWT, menyalahkan takdir, menyalahkan qadar ketentuan Ilahi tanpa menggunakan neraca iman dan ilmu. Kita tidak lagi memandang akan hikmah tersembunyi.
Lantas, kekecewaan bersalut dosa terus membelenggu diri, merantai jiwa hingga tertutup pintu hati kepada sebuah kebenaran. Nauzubillahhi minzalik.
Moga, saya dan kalian terjauh dari perilaku sebegini.
Menelaah Erti Sabar
Erti sabar bukan hanya sekadar meniti di bibir. Bukan semata-mata mengatakan yang kita mampu menahan sabar bila dilanda sekelumit musibah. Sabar juga bukan omongan kosong yang harus diwar-warkan kepada umum agar mendapat pujian dan dilabel sebagai insan yang penyabar.
Justeru, erti sabar sebenar adalah ketika kita tegas mengatakan yang haq lalu melakukannya. Di samping melaksanakan, kita sudah siap-siaga menghadapi sebarang risiko mendatang tanpa rasa lemah, takut, atau berpaling melarikan diri.
Sifat sabar sebenar yang dikurniakan Allah SWT adalah rimbunan buah ketaqwaan yang menyubur di dalam nubari insan beriman. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya barangsiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat.” (Yusof: 90)
Sifat sabar sebenar adalah kesabaran yang menyebabkan kita semakin dekat dengan Allah SWT, jelas matlamat dan tujuan hidup, bercita-cita untuk menuju ke syurga melalui siratol mustaqim (jalan lurus). Gambaran ini boleh dikutip dari kisah kesabaran Bilal bin Rabah menahan derita disiksa dan dihempap batu besar tatkala mempertahankan keimanan kepada Azza Wajalla. Begitu juga kisah keluarga Yasir yang disula hingga menemui ajal semata-mata bersabar menahan siksaan atas keengganan kembali kepada kepercayaan Jahiliyyah lagi Taghut. Lantas Rasulullah SAW bersabda:
“Sabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya yang dijanjikan bagi kalian adalah syurga.”
Misalan lain, sebagaimana kesabaran Khubaib dan Zaid; dia berkata:
“Demi Allah, aku tidak suka Muhammad SAW ditimpa musibah walau hanya dengan duri, sementara aku selamat dengan keluargaku.”
Selain itu, sifat sabar orang-orang yang menyatakan kebenaran di hadapan penguasa yang zalim, menghentikan perbuatan mencaci dari kalangan mereka yang suka mencaci, melaksanakan amar makruf nahi mungkar juga terkategori sebagai kesabaran sebenar.
Ini sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW:
“Tidak, demi Allah, kalian harus menghentikan orang yang zalim, kalian harus membelokkan mereka (dari kezaliman) menuju kebenaran, dan kalian harus menahan mereka dalam kebaikan atau Allah akan mengunci hati sebahagian dari kalian disebabkan oleh sebahagian yang lainnya dan Allah akan melaknat kalian sebagaimana telah melaknat Bani Israil.”
Maka, bersabarlah dengan sebenar-benar sabar bila qadha Allah bertandang ke kamar hidupmu.