Sunday 19 January 2014

We Miss You Rasulullah...




Kredibiliti. Tenang. Menyejukkan pandangan. Sifat yang sangat mencerminkan keperibadian seorang pemimpin unggul di zaman persekolahannya. Ya, akulah Haris Ikhwan .


Zikir tak putus di jiwanya, Selawat dan senyuman menjadi hiasan bibir. Kata-kata penuh hikmah dan tarbiyah. Nasihat sering menjadi sandaran dan kekuatan para pejuang ilmu. Tangkas bertindak, ligat berkerja.  Hebat! Itu kata sahabat seusiaku.

“Sahabat, lazimi harimu dengan kata-kata yang hasan (baik), usahakanlah harimu dengan kebaikan. Jauhilah perkara melalaikan dan perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah tercinta…”

“Selawat itu pemanis mulutku , di pagi dan malam harinya…”

Ya, itu zaman persekolahanku. Zamanku asyik dalam dunia tarbiyah dan dakwah. Bibir berbunga dengan madah Islamiyyah. Allahu, sungguh aku rindu zaman itu berulang lagi!

Usia semakin meningkat, pencarian ilmu perlu diteruskan. Aku tinggalkan bumi tarbiyah Islam itu, teruskan langkah menuju gerbang ilmu. Asasi, aku hadir!

Sungguh, perjalanan ini tidak mudah. Ribuan tribulasi hebat datang menerpa. Diuji dengan setiap butir kata yang pernah aku lontarkan.

Penyakit wahan semakin menular dalam diri. Ya, cintakan dunia, leka dengan dunia..tapi takutkan mati. Dhuha yang menjadi santapan rohani di pagi hari sudah pupus dalam jadual harianku. Selawat pula hanya menjadi senandung di masjid dan program agama. Masjid juga sudah jarang sekali disinggahi. Cukup sekadar solat jumaat dan jika tidak sempat untuk solat di bilik selepas waktu kuliah. 


Pergaulan yang dulu sangat dijaga, kini bagai mimpi semalam. Aku semakin aktif bersosial, hingga lupa pada batas-batas pergaulan yang sangat aku jaga sejak sekolah. Masa terluang banyak dihabiskan dengan perkara melekakan, chatting tidak tentu hala. Laman sosial lebih diutamakan dari meluangkan masa untuk mentadabbur kalamullah, yakni Al Quran. Amar makruf nahi munkar semakin hilang dalam pendirianku.


‘Ikhwan, aku rindu Haris Ikhwan zaman sekolah dulu’

‘Brother, kau kena taufan el nino atau tsunami ke? Sampai aku dah tak kenal kau. U, totally change’

Acapkali sahabat menegur, namun aku terus pekakkan telinga. Bagi aku, walau apapun yang aku lakukan, ibadah wajib jangan tinggal.

Dan suatu malam yang lebat hujannya, aku ditimpa kemalangan kereta. Kawanku yang menjadi pemandu kehilangan nyawa di tempat kejadian. Dan aku terluka parah. Nyawa-nyawa ikan. Fobia. Namun Allah masih berikan kesempatan untuk terus bernafas.

Terima kasih kepada ibu yang tidak putus-putus berdoa untukku. Yang banyak membantu diriku dalam proses untuk pulih.

3 pagi. Mataku celik. Ku pandang sekelilingku. Gelap. Ibu sudah lena di sofa. Hari ini genap seminggu di wad. Perlahan-lahan, pandanganku kalih ke arah meja sisiku. Hairan terbit dalam jiwa.
“Beg kertas apakah ini?”getus hati kecilku.

Lampu meja aku nyalakan. Beg kertas di tepi meja kucapai. Isi beg kertas berkenaan dikeluarkan dengan berhati-hati.

Tafsir Al Quran. Hadiah arwah abi tika usia menginjak 13 tahun. Ku selak halaman pertama Al Quran. Terpaku. Sayu membaca nota abi untuk anaknya.

= Sanah helwa wahai anakku, Haris Ikhwan (yang menjaga, persaudaraan). Selamat panjang umur dalam iman dan taqwa. Semakin meningkat usia, semakin hampir dengan kematian. Jadilah pemimpin , qudwah hasanah untuk agama dan negara. Jadikanlah Rasulullah sebagai suri teladan hidupmu. Jagalah Islam. Jagalah ukhuwah Selamat menempuh jalan pejuang, wahai anakku…=


“Wahai orang-orang beriman, mengapa kamu katakan apa yang kamu tidak lakukan?”As Saff :2


Ku seka kedua pipiku. Ayat dari surah As Saff itu benar-benar menyentuh tangkai hati ini.Terimbas kembali saat kecilku bersama arwah abi…


“Haris Ikhwan, abi ada hadiah ni!”abi menghulurkan sesuatu yang berbalut kemas


Tangan gopoh mengoyak pembalut hadiah. Mata diseka, air mata terharu terbit di tubir mata.


“Terima kasih abi. Wah, Ikhwan suka sangat ni! Nanti bolehlah Ikhwan jadi pemimpin macam Rasulullah. Ikhwan nak sangat ikut sifat Rasulullah, macam yang abi selalu cerita sebelum tidur”


“Insha Allah, anakku. Moga abang boleh jadi pencetus ummah dan qudwah hasanah untuk keluarga, agama dan negara.”


Allah. Allah. Allah. Sungguh, aku telah lari jauh dari ‘track’ redha Ilahi. Aku kecundang, tergelincir seketika dari jalan kebenaran.



Hamba apakah aku? Mengaku cintakan Allah, berikrar untuk cintai Rasulullah, tapi cara langsung tidak melambangkan janji itu. Zero. Kata-kata dusta dari lidah tak bertulang.Malunya aku, Ya Rabbi… Inikah insan yang bermati-matian memperjuangkan kalimah tauhid di sekolah dahulu, yang basah bibirnya dengan selawat satu tika dahulu?....



Aku bangkit dari pembaringan. Wudhuk diangkat. Sejadah dihampar., Takbir dimulakan. Syahdu. Dan malam itu aku hanyut dengan tangisan penyesalan dalam solat malamku.Sahabatku, ayuh berubah. Kembalilah kepada Islam dengan sebenar-benarnya. Keep striving in repentance. Memang perit, pedih dan sakit dalam perubahan, tapi ada manis dariNYA.


Yakinkah kita untuk mendapat syafaat Rasulullah tercinta di akhirat kelak? Adakah kita sudah benar-benar menjalankan tugas sebagai umat Islam? Sudah terlaksanakah segala tanggungjawab seorang muslim…


Ayunkan langkah, teguhkan pendirian. Mantapkan akidah. Ayuh, bersama kembali padaNYA. Suburkan cinta Rasulullah dalam diri. Cukuplah masa jahiliyyah kita menjadi penyebab kesedihan seorang kekasih Allah, cukuplah menjadi umat Islam hanya sekadar dalam IC. Tidak dalam diri.Sentiasa ada harapan bagi pendosa. Ayuh! Terbang mencari saham untuk akhirat! 

Rasulullah, sungguh kami merinduimu….


   


^_^ ~Coretan dan adaptasi dari U.S1 - 

Saturday 18 January 2014

Tika Purnama : Night Climbing & Jungle Trekking

Alhamdulillah, program sulung 2014 berakhir dengan jayanya. Program ini disertai oleh hampir 30 orang wanita dan remaja perempuan sekitar Selayang. Program ini berbentuk sukan aktiviti lasak seperti night climbing, larian berhalangan dan juga jungle trekking.

Menariknya, program ini dilaksanakan di waktu bulan purnama. Para peserta dapat menyaksikan kebesaran Allah ini ketika melakukan aktiviti night climbing. Tiada kata yang dapat mengungkap ketakjuban kami ketika menyaksikan keindahan alam tu melainkan ucapan Subhanallah.


Pagi berikutnya dimulakan dengan aktivi larian berhalangan dimana para peserta perlu melalui 3 halangan. Aktitiviti ini merupakan pemanas badan sebelum para peserta bertolak ke air terjun melalui aktiviti jungle trekking.



 

Aktiviti terakhir sebelum pulang ialah jungle trekking. Melalui jungle trekking ini , para peserta dibawa ke air terjun dan juga gua. Selama duduk di Selayang, tidak pernah terlintas di dalam fikiran bahawa Selayang mempunyai tempat seindah ini. Kami juga terjumpa seekor kura-kura ketika berhenti seketika di kawasan gua. Subhanallah, memang ciptaan Allah itu, sangatlah indah.


Akhirul kalam , "Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun masing-masing ada kebaikan. Semangatlah meraih apa yang manfaat untukmu dan mohonlah pertolongan kepada Allah, dan jangan bersikap lemah. Jika engkau tertimpa suatu musibah janganlah mengatakan, "Seandainya aku berbuat begini dan begitu, niscaya hasilnya akan lain." Akan tetapi katakanlah, "Allah telah mentakdirkannya, dan apa yang Dia kehendaki Dia Perbuat." Sebab, mengandai-andai itu membuka pintu setan." (HR. Muslim)

Thursday 2 January 2014

Perutusan Tahun Baru Masihi 2014

Assalammualaikum w.b.t. Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi, dengan rahmat kasih sayangNYA, masih kita diberi peluang untuk menikmati kehidupan sehingga ke tahun 2014. Azam tahun baru seringkali dikaitkan dengan kemasukan tahun baru. Sugguhpun ini bukanlah suatu yang diwajibkan agama namun ia juga bukanlah suatu yang menjadi kesalahan untuk dilakukan oleh umat islam. Setiap individu pasti ada kehendak dan impian untuk direalisasikan setiap tahun, namun tidak semuanya berjaya dicapai sebelum berakhir tahun tersebut. Ini kerana tidak semestinya apa yang kita rancang akan berjaya dilaksanakan. Sesugguhnya kita mungkin ada perancangan tersendiri, tetapi Allah jua ada perancaganNYA untuk hambaNYA dan sesugguhnya perancangan Allah adalah lebih baik kerana hanya DIA yang mengetahui apa yang terbaik untuk ciptaanNYA.
Justeru itu, selaku individu yang telah diberi nikmat iman dan islam, seharusnya untuk kita tidak berputus asa malah menjadikan tahun-tahun yang mendatang lebih baik dari sebelumNYA. Ini selari dengan seruan Nabi yang kita sayangi, Nabi Muhammad S.A.W dalam hadithnya :

“ Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yang beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” Mafhum Hadith Rasulullah SAW.

 Selain itu, agama juga menuntut umatnya untuk sentiasa positif dan tidak lemah semangat dalam kehidupan. Malah sebanyak lima kali kita diseru di dalam seruan azan setiap hari untuk menuju kejayaan. Azam atau impian yang tidak tercapai pada tahun sebelumnya boleh dibawa ke tahun seterusnya untuk dilaksanakan. Perancangan yang mantap dan kesugguhan yang jitu In Shaa Allah akan membuahkan kejayaan dalam mengapai impian.

Namun, dengan adanya tahun-tahun yang mendatang bukanlah suatu alasan untuk kita melengah-lengahkan sesuatu keinginan yang ingin dicapai. Ini kerana kita tidak tahu bila ajal kan menjemput kita. Selain itu, masa juga tidak pernah menunggu kita untuk berdetik. Sesugguhnya masa yang berlalu umpama air terjun yang mengalir. Kita tidak mungkin dapat menyentuh air yang sama untuk kedua kalinya, kerana air yang mengalir akan terus berlalu dan tidak akan pernah kembali.
Saya mewakili seluruh warga nisa’ selayang mengucap Selamat tahun baru 2014. Bersama kita semua menjadikan tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.