Thursday 24 November 2011

Salam Ma'al Hijrah 1433

      
      Dari Abdullah bin Mas'ud, katanya:"Bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Tiap-tiap Nabi yang diutus sebelum saya mempunyai pengikut-pengikut dan sahabat-sahabat yang terpilih dari umatnya masing-masing; mereka itu berpegang kepada contoh Nabinya dan menuruti perintahnya; kemudian setelah zaman itu berlalu mereka disambung oleh generasi yang hanya pandai berkata, tetapi tidak bekerja,dan bekerja tetapi tidak menuruti pedoman-pedoman Nabinya. Sesiapa menentang kaum itu dengan kekerasan, mu'minlah ia, menentangnya dengan perkataan, mu'min pula, dan menentangnya dengan hatinya mu'min juga; dan telah habislah iman dari orang-orang yang tidak menentang kemungkaran, walaupun dengan hatinya."(Riwayat Muslim)


       Perjuangan melawan kemungkaran adalah menjadi dasar utama para nabi dan orang-orang yang beriman. Nabi Muhammad saw, seperti halnya nabi-nabi sebelumnya, menghadapi berbagai kesukaran sepanjang hidup baginda. Baginda berkorban meninggalkan harta dan berhijrah ke Madinah demi kelangsungan dakwah Islam.


       Ini disebutkan di dalam al-Quran yang bermaksud :"Sesungguhnya, orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (al-Baqarah: 218)
 
       Sebagai balasan atas pengorbanan tersebut, Allah memberikan khabar gembira dengan limpahan kebaikan dan rezeki di dunia. Hal ini disebutkan di dalam al-Quran yang bermaksud: "Sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dimaksudkan), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.."(an-Nisaa:100)

       Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman sama sekali tidak merasa takut atau gementar apabila menghadapi musuh. Semuanya adalah kerana keyakinan pada Allah bahawa Dia sentiasa bersama orang-orang yang benar seperti mana firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu ia berkata kepada temannya, 'Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah bersama kita.' Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (at-Taubah: 40)


  
Sumber: Iluvislam

Monday 21 November 2011

Manfaatkan Cuti Sekolah!

   

      Cuti sekolah datang lagi!!! Tahniah pada adik-adik yang telah berjaya menempuh sesi persekolahan sepanjang tahun 2011, terutama kepada mereka yang berusaha untuk mengekalkan prestasi kehadiran penuh sepanjang tahun! Ucapan tahniah juga diucapkan kepada adik-adik yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan SPRA baru-baru ini. Semoga pencapaian cemerlang kalian terus meningkat pada masa-masa akan datang! Selepas ini, adik-adik bakal bergelar pelajar sekolah menengah pula. Jadinya, manfaatkan sebaiknya cuti sekolah kali ini dengan aktiviti-aktiviti dan persiapan yang sepatutnya adik-adik lakukan.
     Disini akak berikan beberapa tips yang mungkin bermanfaat untuk adik-adik yang masih belajar disekolah rendah, bakal pelajar sekolah menengah dan adik-adik remaja sekolah menengah, ;-)

     1.  Cari, daftar dan sertai program-program yang bermanfaat dan menyeronokkan!
  • Dapatkan kebenaran ibubapa untuk menyertai sebarang aktiviti yang semestinya banyak diiklankan di majalah-majalah dan surat khabar. Pilihlah program-program yang membina jati diri, kepimpinan dan juga kerohanian kita. 
  2.  Inilah masanya adik-adik belajar membiasakan diri melakukan kerja-kerja rumah.=) adik-adik perempuan boleh membantu ibu memasak didapur, adik-adik lelaki pun tidak salah untuk membantu didapur!  

    3.   Latihlah diri lebihkan masa dalam beribadah kepada Sang Pencipta kita.=) 
  • Tadabbur Al-Quran, baca dan fahami maksud setiap ayat, sebutkan satu persatu tajwid yang terdapat dalam tiap baris ayat. Ia amat penting dalam meningkatkan kualiti pembacaan dan kefahaman pada isi Al-Quran.
  • Juga, cuba-cubalah biasakan diri mendirikan solat sunat rawatib, hajat, taubat dan istikharah.. Kesannya amat besar untuk dalaman kita, antaranya kita dapat merasakan kekuatan dalaman kita, mungkin sebelum ini kita seorang yang sensitif atau penakut, selepas beberapa lama(sebulan atau kurang secara istiqamah) kelemahan kita ini beransur hilang. Tambahan, InsyaAllah dalam setiap keputusan yang kita buat, merupakan gerak hati dari Allah dan juga malaikat sebagai pembantu. Yakinlah!
    4.   Daftar kelas kemahiran diri,
  • Adik-adik juga boleh mendaftarkan diri dikelas-kelas kemahiran seperti kelas komputer, kelas bahasa, gubahan bunga atau kek. Kemahiran, jika diasah dari awal, ia membawa banyak kebaikan untuk diri sendiri, bahkan, mampu menjana duit dengan sedikit kelebihan yang kita ada ini. Percaya tak?
    5.   Ulangkaji subjek lepas dan akan datang!
  • Buat adik-adik yang masih diperingkat persekolahan yang sama, jangan lupa semak semula apa yang telah belajar pada tahun itu, mungkin akan diulang semula atau ia akan menjadi ilmu asas pada subjek-subjek baru pada tahun depan.
  • Bagi adik-adik yang bakal menjejakkan kaki ke sekolah menengah, boleh meminjam buku-buku kakak atau abang, mungkin juga jiran, sebagai persediaan awal menghadapi peralihan alam.
  • Ini amat penting untuk adik-adik calon PMR dan SPM! Silalah dan beringatlah untuk ulang kaji semula tiap subjek yang bakal menjadi soalan di atas kertas peperiksaan besar ini nanti. Tiada SPM tanpa PMR, tiada Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana tanpa SPM...;-) Adik-adik, tolong ambil berat dan merasa risau ye...
    6.  Jangan lupa beriadah bersama-sama teman-teman dan keluarga!
  • Masa cuti inilah masa yang amat sesuai dan paling disukai kebanyakan adik-adik, betulkan? Adik-adik boleh cadangkan pada ibubapa adik-adik untuk bercuti atau makan angin sekeluarga, sebagai mengeratkan hubungan yang sedia ada dan menggantikan masa-masa lepas yang diisi dengan pelbagai aktiviti persekolahan. Tidak perlu percutian luar negeri atau luar negara, mungkin cukup sekadar makan bersama ditepi tasik berdekatan ataupun joging bersama-sama di awal pagi.
  • Masa cuti ini juga mungkin memberi kesempatan bagi yang meminati sukan. Riadah bersama kawan-kawan boleh menjadi latihan bagi atlit-atlit sekolah, disamping terus menjaga kesihatan dan stamina badan adik-adik.


    Cukup sekadar ini perkongsian kami, kakak-kakak Nisa' Selayang untuk adik-adik semua. Pastikan cuti panjang ini diisi dengan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat dan pahala. Ingat salah satu perkara yang dipesan, Jaga waktu lapang kita sebelum datangnya waktu sempit. =) Ilalliqa'!

Wednesday 2 November 2011

Salam Aidil Adha


"Dari Aisyah r.a. katanya; Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tiada amalan anak Adam pada hari Aidil Adha yang disukai Allah selain daripada menyembelih korban. Korban-korban itu akan datang kepada orang yang melakukannya pada hari kiamat seperti keadaan semula, iaitu dengan anggotanya, tulangnya, tanduknya dan bulunya. Darah korban itu lebih dahulu jatuh ke suatu tempat yang disediakan Tuhan sebelum jatuh ke atas tanah. Oleh sebab itu, berkorbanlah dengan senang hati".

(at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)