Monday 21 November 2011

Manfaatkan Cuti Sekolah!

   

      Cuti sekolah datang lagi!!! Tahniah pada adik-adik yang telah berjaya menempuh sesi persekolahan sepanjang tahun 2011, terutama kepada mereka yang berusaha untuk mengekalkan prestasi kehadiran penuh sepanjang tahun! Ucapan tahniah juga diucapkan kepada adik-adik yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan SPRA baru-baru ini. Semoga pencapaian cemerlang kalian terus meningkat pada masa-masa akan datang! Selepas ini, adik-adik bakal bergelar pelajar sekolah menengah pula. Jadinya, manfaatkan sebaiknya cuti sekolah kali ini dengan aktiviti-aktiviti dan persiapan yang sepatutnya adik-adik lakukan.
     Disini akak berikan beberapa tips yang mungkin bermanfaat untuk adik-adik yang masih belajar disekolah rendah, bakal pelajar sekolah menengah dan adik-adik remaja sekolah menengah, ;-)

     1.  Cari, daftar dan sertai program-program yang bermanfaat dan menyeronokkan!
  • Dapatkan kebenaran ibubapa untuk menyertai sebarang aktiviti yang semestinya banyak diiklankan di majalah-majalah dan surat khabar. Pilihlah program-program yang membina jati diri, kepimpinan dan juga kerohanian kita. 
  2.  Inilah masanya adik-adik belajar membiasakan diri melakukan kerja-kerja rumah.=) adik-adik perempuan boleh membantu ibu memasak didapur, adik-adik lelaki pun tidak salah untuk membantu didapur!  

    3.   Latihlah diri lebihkan masa dalam beribadah kepada Sang Pencipta kita.=) 
  • Tadabbur Al-Quran, baca dan fahami maksud setiap ayat, sebutkan satu persatu tajwid yang terdapat dalam tiap baris ayat. Ia amat penting dalam meningkatkan kualiti pembacaan dan kefahaman pada isi Al-Quran.
  • Juga, cuba-cubalah biasakan diri mendirikan solat sunat rawatib, hajat, taubat dan istikharah.. Kesannya amat besar untuk dalaman kita, antaranya kita dapat merasakan kekuatan dalaman kita, mungkin sebelum ini kita seorang yang sensitif atau penakut, selepas beberapa lama(sebulan atau kurang secara istiqamah) kelemahan kita ini beransur hilang. Tambahan, InsyaAllah dalam setiap keputusan yang kita buat, merupakan gerak hati dari Allah dan juga malaikat sebagai pembantu. Yakinlah!
    4.   Daftar kelas kemahiran diri,
  • Adik-adik juga boleh mendaftarkan diri dikelas-kelas kemahiran seperti kelas komputer, kelas bahasa, gubahan bunga atau kek. Kemahiran, jika diasah dari awal, ia membawa banyak kebaikan untuk diri sendiri, bahkan, mampu menjana duit dengan sedikit kelebihan yang kita ada ini. Percaya tak?
    5.   Ulangkaji subjek lepas dan akan datang!
  • Buat adik-adik yang masih diperingkat persekolahan yang sama, jangan lupa semak semula apa yang telah belajar pada tahun itu, mungkin akan diulang semula atau ia akan menjadi ilmu asas pada subjek-subjek baru pada tahun depan.
  • Bagi adik-adik yang bakal menjejakkan kaki ke sekolah menengah, boleh meminjam buku-buku kakak atau abang, mungkin juga jiran, sebagai persediaan awal menghadapi peralihan alam.
  • Ini amat penting untuk adik-adik calon PMR dan SPM! Silalah dan beringatlah untuk ulang kaji semula tiap subjek yang bakal menjadi soalan di atas kertas peperiksaan besar ini nanti. Tiada SPM tanpa PMR, tiada Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana tanpa SPM...;-) Adik-adik, tolong ambil berat dan merasa risau ye...
    6.  Jangan lupa beriadah bersama-sama teman-teman dan keluarga!
  • Masa cuti inilah masa yang amat sesuai dan paling disukai kebanyakan adik-adik, betulkan? Adik-adik boleh cadangkan pada ibubapa adik-adik untuk bercuti atau makan angin sekeluarga, sebagai mengeratkan hubungan yang sedia ada dan menggantikan masa-masa lepas yang diisi dengan pelbagai aktiviti persekolahan. Tidak perlu percutian luar negeri atau luar negara, mungkin cukup sekadar makan bersama ditepi tasik berdekatan ataupun joging bersama-sama di awal pagi.
  • Masa cuti ini juga mungkin memberi kesempatan bagi yang meminati sukan. Riadah bersama kawan-kawan boleh menjadi latihan bagi atlit-atlit sekolah, disamping terus menjaga kesihatan dan stamina badan adik-adik.


    Cukup sekadar ini perkongsian kami, kakak-kakak Nisa' Selayang untuk adik-adik semua. Pastikan cuti panjang ini diisi dengan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat dan pahala. Ingat salah satu perkara yang dipesan, Jaga waktu lapang kita sebelum datangnya waktu sempit. =) Ilalliqa'!

0 comments:

Post a Comment