Tuesday 26 August 2014

IMAN YANG MERDEKA?



Saban tahun, abang saudaraku, Farhan akan mengajak sepupunya bersama-sama berkunjung ke Dataran Merdeka, sempena 31 Ogos. Dan setiap kali kami turun pada 31 Ogos, along Farhan tak jemu membawa kami singgah ke Jalan Bukit Bintang, melihat gelagat penghuni di jalan sekitarnya. Sudah bertahun lamanya aku menurut ajakan along Farhan. Sejak kecil.


Suasana di malam merdeka? Menarik! Indah! Meriah! Sesak! Berdentum-dentam bunyi mercun dan bunga api melakar di dada langit. Penuh warna-warni. Ramai yang akan bersama-sama turun padang untuk melahirkan rasa cinta kepada Malaysia, rasa bersyukur dikurniakan kemerdekaan. Aku tersenyum kecil. Bangga tercetus di hati. Okaylah, kami tak bersempit dan berhimpit di sana. Cukup berhentikan kereta, dan buka bumbung kereta.


Tapi di sudut hati kecilku, aku masih tidak faham kenapa, mengapa, why, along Farhan akan bawa kami , lalu di Jalan Bukit Bintang. Musykil amat! Tahun ini, along Farhan agak sibuk dengan final year project nya. Jadi 31 Ogos kali ini, dia hanya menyambut Hari Merdeka di rumah keluargaku, memandangkan ibubapa dan adiknya sudah menetap di Melbourne, sementara dia masih di Malaysia untuk menghabiskan pengajian di UKM.


Suasana di dapur gamat dengan kaum wanita, katanya nak sediakan rendang dan nasi impit untuk esok hari. Eh, macam nak raya pula lagaknya! Ayah pula sedang sibuk bertukang, mengisi masa lapang yang ada. Memandangkan aku sahaja yang tidak bertugas (maklumlah, aku sahaja putera tunggal dalam keluarga ini, hehehe), ini peluang keemasan ini untuk chit-chat dengan along Farhan.


Aku mencari-cari kelibat along Farhan. Kelihatan dia sedang baring sendirian di rooftop rumahku. Kawasannya lapang dan terbuka, tanpa dinding dan atap. Tempat lepak yang paling kami gemar bila along datang ke rumahku. Perlahan-lahan, aku melangkah ke arahnya.


“Abang Farhan, boleh Danish join the club?”aku angkat kening tinggi, trademark stylo aku bila dengan along Farhan. Along memandang ke arahku.

“Haha, boleh Danish. Come. Have a seat or landing sama-sama,”ajak along Farhan , senyum.


Aku baring di sisi along Farhan. Tangan menjadi bantal. Angin sejuk menyapa tubuh. Wah, banyak juga bintang malam ini. Kata orang, banyak bintang tanda nak hujan. Betul ek?


“Awat hang mai ataih ni? (Kenapa Danish datang atas ni?) Tak ada port eh dekat bawah?”along memulakan bicara, tergelak kecil.

“Macam biasalah along, when women’s met their gang, lupa dah dekat putera tunggal ni,”balas aku, senyum kecil.


Jeda. Membiarkan angin berbicara.


“Along, Danish nak tanya sikit, boleh?” aku berbasa-basi, sambil menoleh sedikit ke arah along. Along Farhan mengangguk kecil, mata masih khusyuk memandang ke langit.


Ehem.Ehem. Aku membetulkan suara, takut lari pitching, mahu terkujat dan terkezut along nanti.


“Along, kenapa along suka bawa Danish dan yang lain pergi Bukit Bintang eh? Nak kata banyak bintang, tak pula. Banyak orang nak menjadi bintang a.k.a ‘superstar’ adalah,”aku memecah kesunyian malam.


‘Superstar’ atau artis olok-olok , merujuk kepada penghuni jalan dan lorong di sekitar Bukit Bintang.


“Ha, itu yang along nak tunjuk sebenarnya,”

“Erk! Along nak tunjuk orang yang pakai makeup 5 inci, baju mengelip-ngelip? Baik tengok kelip-kelip, lagi best,” seloroh aku. Kami tergelak kecil.

“Sebenarnya, along nak tunjukkan pada Danish dan yang lain, inilah realiti dunia akhir zaman. Bila cintakan dunia, nak mewah semata, sanggup lupakan Tuhan. Sanggup menjadi tarikan di lorong-lorong ‘gelap’ itu. Sanggup berpeleseran dan menggadaikan maruah,”along terbatuk kecil.

“Along, nak air?”berpaling padanya, risau. Along menggeleng. Bicara diteruskan.

“Tapi, bukan semua yang ada di lorong Haji Taib dan lorong ‘gelap’ yang lain itu, wujud di situ atas kehendak sendiri. Kebanyakkannya, mereka terdesak dengan hidup. Kalau nak cerita pasal isu terdesak-atau-pilihan-sendiri, berbuku-buku pun tak habis. Sebab masing-masing, ada kisah tersendiri. Dan abang tak kata, semua di sana, jahat. Ada yang baik sebenarnya. Sekarang abang nak fokus pada erti merdeka itu sendiri. Kita selalu singgah sana, waktu malam merdeka, kan?” tanya along.

“Yup!”

“See, walau malam merdeka sekali pun, masih ada yang berkerumun dan sibuk dengan ‘urusan’ di lorong-lorong ‘gelap’ itu. Kenapa mereka tak bercuti dari lorong itu? Kata Hari Merdeka…” along cuba menimbulkan persoalan.

“Aah. Betul juga tu. Tapikan along, Hari Merdeka itukan hari kemerdekaan untuk Negara kita. Tak ada kena mengena dengan merdeka dari ‘kerjaya’, kot?” aku memberi pendapat 20 senku.

“Danish, inilah mentaliti masyarakat sekarang. Bila Merdeka, it’s only for country. Bila Raya, kena beraya sakan. Tapi, hakikatnya, erti raya itu adalah meraikan kemenangan kita dalam menahan nafsu sepanjang sebulan, mengeratkan silaturrahim. Tapi itu tak bermakna, kita sewenang-wenangnya boleh bertempuk-tampar dengan bukan mahram, memakai pakaian yang lawa tapi mendedahkan aurat, jambul, ketat dan jarang,” along menarik nafas panjang. Kata-katanya diteruskan.

“Dan bila part Merdeka, berapa ramai yang melaungkan ‘MERDEKA’ dalam erti kata yang sebenar? Berapa ramai yang menanamkan semangat untuk merdeka dalam diri? dalam Berapa ramai yang berazam untuk merdeka dari jajahan jahiliyyah? Merdeka dari hedonisme yakni hiburan melampau? Merdeka dari fahaman yang bercanggah dengan Quran dan Sunnah? Merdeka dari gaya Barat yang melalaikan? Merdeka dari lagu yang merosakkan sistem hati kita? Merdeka dari jalan-jalan zina? Merdeka dari unsur pendedahan aurat? Bebas dari anasir-anasir luar yang melanggar syariat Islam? Bebas dari virus Trojan, malware, Worm, spyware, adware dan serangan yang boleh merosakan sistem minda, iman, amal dan taqwa? Erti merdeka ini, bukan hanya dirasai pada 31 Ogos, malah sistem ini perlu berterusan hingga pulang pada Ilahi. Ya, realiti itu pahit untuk ditelan,” along mengeluh, kesal.


Aku menelan air liur. Berat. Terkesan dengan kata-kata along. Ada benarnya kata along. Slogan ‘MERDEKA’ kini, meniti kencang di bibir masyarakat namun sedikit sahaja yang ingin memahami dan menghayati erti kemerdekaan sedalam-dalamnya. Yang lain? Tenggelam dalam slogan semata. Fuh~


“Tak salah nak menyambut hari kemerdekaan. Cuma cara menyambutnya, kita kena ubah sikit. Instead of concert tak ingat dunia, tak jaga solat, better buat sujud syukur ramai-ramai, puasa sunat berjemaah jika 31 Ogos jatuh pada hari yang disunatkan puasa. Kalau nak buat aktiviti, nak kumpulkan orang ramai, boleh! Cuma carilah program yang bermanfaat yang berfaedah. Dan tiada unsur yang melanggar keindahan agama Islam dan menghormati agama lain,”sambung along.

Aku mengangguk, tanda menyokong. “Danish pun rasa, kita patut hadkan atau stopkan terus mercun dan bunga api tu. Actually, dah jadi pencemaran bunyi dan jiwa tu!”

“Eh, pencemaran jiwa?”along mengerling ke arahku seketika.

“Yalah, orang tengah syok tidur, tiba-tiba bunyi bising. Baby-baby terganggu lenanya. Yang lain, mulalah terjaga dan menjalankan misi bom mengutuk. Ops!” kami tergelak besar.

“Bagus pendapat Danish. I like! Hmm, bila along dengar bunyi mercun, along akan teringatkan saudara di Palestin dan Syria. Bunyi mercun dan bunga api bagi mereka, tidak lain dan tidak bukan adalah bom dan peluru yang dimuntahkan. Tiada lagi detik keamanan bagi mereka. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Namun, usah dilupakan saudara seIslam yang sedang diuji hebat oleh Allah,”


Berbeza dengan Malaysia, jika di sini, mercun dan bunga apilah yang boleh membuatkan kita tersenyum dan teruja. Tapi, tidak di sana. Semuanya ‘mercun’ yang memedihkan mata, meragut nyawa, memusnahkan kedamaian dan memecah hak privasi!


“Danish, jadilah macam bintang. Menjadi cahaya bagi yang masih terkapai-kapai dalam kegelapan. Sentiasa bermanfaat kepada semua, tanpa mengira kulit, darjat, bangsa mahupun agama,”pesan along sambil menunjuk ke arah bintang yang bertaburan.
Aku tersenyum kecil. Insha Allah, akan aku memanfaatkan diriku untuk ummah, demi Islam dan Negara, kerana Allah. Akan aku ingat pesanan along Farhan, Insha Allah!


Beberapa saat kemudian, kelihatan percikan bunga api menghiasi dada langit. Bunyi mercun berdentum-dentam memecah sepi. Kami melayan perasaan.


‘Saudaraku di Palestin, Syria, Mesir, Rohingya dan seluruh pelusuk alam, semoga kalian tabah menempuh ujian hebat dari Allah. Kalian hebat! Insan yang hebat sahaja akan diuji dengan ujian seberat itu. Moga kami di Malaysia, tetap bersemangat mengalunkan Qunut Nazilah , menadah tangan berdoa untuk kalian. Moga usaha kami tidak luntur dan terus bersemangat untuk memberikan yang terbaik dalam apa jua bentuk, demi membantu kalian! Moga ilmu yang aku pelajari selama ini, dapat aku manfaatkan demi kemaslahatan ummah!’ ikrar along Farhan di sudut hati.


‘Salam Kemerdekaan Wahai Rakyat Malaysia! Semoga kita bebas dari segala penjajahan dari segi minda, fizikal, dan rohani! Semoga Islam terus istiqamah dalam setiap langkah kita. Semoga iman kita turut merdeka dari segala lumpur dosa dan kemaksiatan. Bersinarlah imanmu, walau di mana jua kamu berada! Ya ALLAH, moga aku terus diberikan kesempatan untuk bersyukur dan hidup dalam nikmat Iman dan Islam ini,’ ucap Danish dalam hati.


Eh, awak yang sedang membaca! Ketuk sikit sistem hati. Amacam, dah sedia untuk merdekakan iman dari maksiat, dengan istiqamah?


-Kita ‘merdeka’, bukan setahun sekali. Bukan hanya pada 31 Ogos. Selagi ada nafas, selagi ada detik masa yang berputar, selagi itulah kemerdekaanmu berjalan, tanpa henti. Merdekakan iman dari maksiat, sentiasa ; U.S1-



SALAM KEMERDEKAAN YANG KE-57.
TERUSKAN BERDOA & QUNUT NAZILAH UNTUK SAUDARA KITA DI SELURUH DUNIA!



0 comments:

Post a Comment