Ramadhan merupakan bulan yang penuh
dengan keberkatan dimana pintu Jannah terbuka lebar untuk hamba-hambaNya yang
ikhlas beramal beribadat dan di bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih
baik daripada seribu bulan yakni Malam Lailatul Qadar. Bulan Ramadhan
benar-benar memberikan pulangan yang besar dan ibarat pasar untuk dagangan ke
akhirat. Ditamsilkan juga seperti tanah yang subur untuk bercucuk tanam
menuju ke sana. Perbuatan yang hidup dan cergas di dalam bulan ini dikiaskan
seperti hujan April yang turun pada musim bunga. Bulan ini juga merupakan
festival yang amat mulia bagi orang-orang yang mengabdikan diri kepada
tuhannya.
Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abu Hurairah menjelaskan;”Ketika
datang bulan Ramadhan, sesunggunya telah datang kepada kamu bulan yang penuh
berkat,diwajibkan keatas kamu berpuasa,dalam bulan ini pintu Jannah
dibuka,pintu neraka ditutup syaitan-syaitan dibelenggu.Dalam bulan ini ada satu
malam yang nilainya sama dengan seribu bulan.Maka diharamkan kebaikan bagi
sesiapa yang tidak beramal baik di dalamnya,sesungguhnya tidak mendapat
kebaikan dibulan lain seperti di bulan ini.”
Selain itu bagi mengimarahkan malam-malam dibulan Ramadhan,diperintahkan umat
Islam mengerjakan solat Tarawih dan bertadrus Al-Qur’an selepas berpuasa
sepanjang hari.
Sehubungan itu misi mencari keredhaan Allah SWT di bulan penuh keberkatan ini
tidak hanya tertumpu kepada solat dan berpuasa malah ianya dihiasi dengan
semangat kasih sayang dengan menghulur bantuan kepada sesama ummah yang
memerlukan ihsan dan sumbangan berbentuk makanan,pakaian serta dana bagi
melestarikan kehidupan dan meringankan sedikit bebanan hidup.
Golongan fakir miskin,balu-balu,anak-anak yatim dan warga tua yang kurang upaya
mendapat perhatian bukan sahaja melalui sumbangan bantuan daripada mana-mana
pihak malah ianya mendapat simpati kasih sayang individu muslim yang prihatin
dan ingin membelanjakan harta ke jalan Allah.
Sifat kasih sayang,persaudaraan dan
prihatin sesama insan amat penting dalam kehidupan umat Islam. Semangat
kasih sayang dan prihatin itu yang telah dipupuk dan disemai pada bulan
Ramadhan dan Syawal perlu diteruskan pada sepanjang masa agar kesejahteraan
rakyat dan perpaduan Islam dapat diperkukuhkan.
Justeru,puasa Ramadhan boleh membentuk umat Islam menjadi insan yang prihatin
terhadap golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan.
“ Perasaan kasih sayang antara sesama manusia merupakan fitrah dan realiti yang
semestinya diterima oleh setiap insan dimuka bumi Allah ini,Insyaallah…”
>Ramadhan Al-Mubarak<
Masjid & Peranannya
{“Dan bahawa sesungguhnya
masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu
seru dan sembah sesiapa pun bersama-sama Allah”.}
Penciptaan manusia ini ialah supaya manusia
mengabdikan diri kepada Allah. Di dalam Islam, masjid merupakan suatu institusi
mulia yang digunakan oleh umat Islam untuk beribadah bagi membuktikan ketaatan
dan pengabdian yang ikhlas kepada Allah.
Ibadah di sini bukan beerti solat
semata-mata, tetapi mencakupi ruang lingkup ibadah yang lebih luas. Inilah
fungsi utama masjid seperti yang dijelaskan di dalam firman Allah yang
bermaksud, "Nur hidayah petunjuk Allah bersinar dengan nyata (terutama
sekali) di masjid sebagai tempat ibadat yang diperintah oleh Allah supaya
dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga
dikerjakan ibadah memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadah dikerjakan
oleh) orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau
berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat
serta mengeluarkan zakat; mereka takut hari (kiamat) yang padanya
berbalik-balik hati dan pandangan."